DUNIA > BERITA

Timor-Leste Sasar Lebih Banyak Pelaburan Jepun Selepas Sertai ASEAN

11/10/2025 10:52 PM

DILI (Timor-Leste), 11 Okt (Bernama-Kyodo) -- Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta menyatakan harapan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Jepun susulan penyertaan negaranya ke dalam ASEAN pada sidang kemuncak di Malaysia hujung bulan ini, lapor Kyodo News.

Dalam satu temu bual dengan Kyodo News pada Jumaat, Ramos-Horta berkata sebuah syarikat pembinaan kapal dari Jepun merancang untuk memulakan pengeluaran di Timor-Leste menjelang 2028, sambil menambah bahawa projek itu berpotensi membuka jalan kepada pelaburan lebih meluas termasuk pembinaan kilang pemasangan kereta.

Jepun telah lama menyokong Timor-Leste melalui bantuan yang tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, pembangunan sumber manusia dan kerjasama teknikal. Ramai anak muda Timor-Leste kini berada di Jepun untuk mengikuti latihan teknikal dalam bidang kimpalan dan pengecatan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan sama ada Timor-Leste masih memerlukan bantuan pembangunan Jepun memandangkan negara itu terus berdepan kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Timor-Leste dijangka menjadi anggota ke-11 blok serantau ASEAN menjelang akhir Oktober.

Ramos-Horta berkata pelaburan yang mampu menjana peluang pekerjaan daripada negara seperti Jepun amat dialu-alukan, sambil menyifatkan penyertaan dalam ASEAN sebagai “peluang besar” untuk pertumbuhan Timor-Leste dan negara itu berhasrat untuk maju seiring dengan blok berkenaan.

“Kami telah membuat persiapan selama 23 tahun, dan kini kami bersedia untuk menyertai. Kami bersedia untuk melaksanakan dan memenuhi tanggungjawab kami,” katanya.

Beliau menegaskan persoalan utama kini ialah sama ada generasi pemimpin Timor-Leste yang akan datang mampu mengurus peluang dan cabaran yang bakal dihadapi dengan berkesan.

Penggal jawatan Ramos-Horta dijadual berakhir pada 2027, apabila kepimpinan baharu dijangka mengambil alih daripada pentadbiran semasa yang telah mendominasi politik negara itu selama lebih dua dekad.

“Cabaran yang menanti amat besar, namun peluangnya juga amat besar,” katanya.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan