Identiti Mayat Lelaki Dalam Bagasi Telah Dikenal Pasti

10/10/2025 04:07 PM

BUTTERWORTH, 10 Okt (Bernama) -- Polis mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini semalam sebagai Lee Boon Han, 31, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Rabu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pengesahan identiti itu dibuat berdasarkan pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata sebelum ini polis terima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya gagal dihubungi dan hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka di Paya Terubong setelah dikatakan mahu ke Perlis atas urusan kerja.

“Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Seberang Jaya dan mangsa dipercayai dibunuh, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, media melaporkan penemuan satu mayat lelaki tanpa identiti yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini pada 1.43 petang.

Difahamkan mayat ditemukan pekerja pembersihan saluran yang sedang menjalankan tugasan rutin di kawasan rumah pangsa berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan