JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Polis Johor berjaya menyelesaikan 34 kes khianat melibatkan kumpulan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along dengan penahanan tiga individu dipercayai berperanan sebagai dalang, menerusi operasi di daerah ini serta Kluang pada 4 dan 7 Sept.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama-sama IPD Kulai.
“Siasatan awal mendapati tiga suspek ini berperanan melakukan khianat dan menerima upah RM1,000 untuk setiap perbuatan khianat menggunakan api dan RM550 bagi menyimbah cat serta menampal notis ugutan di rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, Ab Rahaman percaya 18 kes khianat di Johor Bahru berjaya diselesaikan selain Kulai (6 kes), Kluang (3 kes), masing-masing dua kes di Pontian, Batu Pahat dan Mersing serta satu kes di Kota Tinggi.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk melakukan jenayah itu termasuk botol berisi minyak petrol selain kereta, motosikal dan telefon bimbit.
Ab Rahaman berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak Februari dengan mempromosikan iklan pinjaman melalui media sosial Facebook dan TikTok.
Sasaran utama ialah warga tempatan bekerja di Singapura dengan transaksi wang dilakukan menggunakan akaun bank berdaftar di republik tersebut.
“Pinjaman akan dikreditkan terus ke akaun peminjam walaupun terma dan syarat perjanjian belum dipersetujui.
“Mangsa dipaksa membayar balik pinjaman dengan kadar faedah tinggi antara 20 hingga 50 peratus dan diugut, disimbah cat atau khianat dengan api sekiranya gagal membuat bayaran,” katanya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436, Seksyen 435, Seksyen 427, Seksyen 507 dan Seksyen 202 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial