KOTA TINGGI, 2 Okt (Bernama) -- Dua lukisan cat minyak bertemakan bunga dan air terjun berusia lebih 10 tahun yang dipamerkan di Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi dilaporkan hilang hujung bulan lepas.
Pengurus TIC Kota Tinggi Nur Farhana Zakaria berkata karya seni bernilai tinggi daripada koleksi Galeri Sejarah Johor dipamerkan di dinding bilik pameran TIC yang turut menjadi laluan ke sebuah kedai makan di bahagian belakang premis.
“Nilai pasaran adalah subjektif, harga permulaan boleh mencecah ratusan ringgit dan berpotensi mencecah ribuan ringgit bergantung kepada pembeli serta nilai sentimental dan sejarahnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selain itu, terdapat cubaan kedua pada malam yang sama sekitar 10 malam, apabila seorang individu tidak dikenali cuba mengambil sebuah lagi lukisan yang diletakkan berhampiran tangga, namun digagalkan oleh pemilik kedai makan di belakang bangunan berkenaan.
Nur Farhana berkata pameran itu berlangsung lebih dua bulan dan menampilkan puluhan karya seni bersejarah yang dipinjamkan pemilik Galeri Sejarah Johor Mohd Fariz Johari bagi tujuan mempromosikan warisan seni negeri ini kepada pengunjung tempatan dan pelancong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Saiful Said di talian 0187637969.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial