Polis Marin Tumpas Cubaan Seludup Masuk Pendatang Tanpa Izin Di Perairan Johor

08/10/2025 07:14 PM

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan cubaan menyeludup masuk 10 pendatang tanpa izin, termasuk dua tekong, di perairan Tanjung Pelepas awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi semasa pasukan rondaan Botronda PC 4 melaksanakan Ops Taring Gelora dan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari daratan.

“Pasukan cuba menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, namun bot itu bertindak melarikan diri dan berlaku insiden mengejar. Dalam kejadian itu, bot suspek telah melanggar Botronda PC 4 lalu terbalik menyebabkan semua 10 penumpang jatuh ke laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua penumpang berjaya diselamatkan anggota PPM dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Kupang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya berumur antara 21 hingga 48 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Dua daripada mereka disyaki tekong darat dan laut,” katanya.

Ab Rahaman berkata polis turut merampas sebuah bot gentian kaca sepanjang 21 kaki dan satu enjin bot jenis Suzuki 40 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) kerana melakukan penyeludupan migran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah akibat perbuatan cuai serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Polis Johor sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau sebarang jenayah lain. 

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan ke Hotline Polis Johor menerusi talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan