DUNIA > BERITA

Indonesia Sambut Baik Gencatan Senjata Gaza, Desak Akses Kemanusiaan Dibuka Segera

10/10/2025 01:30 PM

JAKARTA, 10 Okt (Bernama) -- Indonesia menyambut baik pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan menzahirkan harapan agar peperangan dapat ditamatkan secara kekal, menurut Kementerian Luar negara itu pada Jumaat.

Jakarta turut menghargai usaha pengantaraan oleh Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Turkiye, serta menggesa semua pihak melaksanakan setiap ketetapan dalam perjanjian gencatan senjata itu dengan penuh keikhlasan.

“Indonesia berharap akses kemanusiaan dapat dibuka dengan segera dan meluas,” menurut kementerian itu dalam satu hantaran di platform X, sambil menambah bahawa negara itu bersedia untuk turut serta secara aktif dalam menyokong proses pembinaan semula Gaza.

Kenyataan itu juga menyeru masyarakat antarabangsa memanfaatkan momentum tersebut untuk menghidupkan semula proses damai di Palestin berasaskan penyelesaian dua negara, serta membantu merealisasikan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan damai Gaza yang dicadangkan AS.

Cadangan 20 perkara yang diumumkan pada 29 Sept itu merangkumi pelaksanaan gencatan senjata, pembebasan tebusan dan pelucutan senjata Hamas.

Serangan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 67,200 penduduk Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan