KUALA NERANG, 9 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi selepas disyaki mencuri komponen pencawang di dua lokasi berbeza di Kampung Musa, Mukim Pedu dekat sini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap Supt Abdull Razak Othman berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Pendang pada 12.30 tengah malam, 1 Okt lepas.
"Tangkapan susulan dua laporan polis oleh syarikat telekomunikasi terbabit berkaitan kes kecurian komponen komunikasi melibatkan kerugian kira-kira RM112,000 yang disyaki berlaku sekitar 5 petang, 30 Sept lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdull Razak berkata polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan suspek dalam melakukan jenayah itu di rumahnya manakala ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
"Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan sejak dua tahun lepas. Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan pencawang yang jauh dari pandangan sebagai sasaran dan jenayah dibuat awal pagi untuk mengelak dikesan," katanya.
Beliau berkata polis kemudian menahan dua lagi suspek berusia 31 dan 51 tahun yang disyaki menjadi pembeli barangan dipercayai dicuri di dua lokasi berasingan di Alor Setar.
Abdull Razak berkata dengan penahanan kesemua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan 21 kes kecurian komponen pencawang telekomunikasi di Padang Terap, Yan, Pendang dan Kota Setar membabitkan kerugian lebih RM600,000.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk tampil menghubungi balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial