KUANTAN, 24 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM2.2 juta selepas terperdaya dengan dua skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi laman Facebook pada Februari dan Mei lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kes terbaharu, lelaki berusia 45 tahun itu telah berhubung dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum melakukan 18 transaksi berjumlah RM1.86 juta ke enam akaun bank antara 14 Mei hingga 15 Julai 2025.
“Mangsa pernah menerima pulangan lebih RM20,000 dan membuatkannya yakin untuk terus melabur. Namun pada Selasa lepas, lelaki itu diminta membuat bayaran tambahan RM88,000 untuk proses pengeluaran cepat.
“Bagaimanapun mangsa enggan dan semakan di portal Semak Mule menunjukkan akaun bank terlibat mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa sebelum ini juga terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang mengakibatkannya kerugian RM440,000 setelah membuat 13 transaksi antara 23 Feb hingga 21 Mei 2025.
“Dalam kes ini, tiada sebarang pulangan diterima, malah mangsa diminta membayar “cukai” sebanyak 20 peratus untuk pengeluaran, namun mangsa enggan dan mengesyaki telah ditipu.
“Justeru, jumlah keseluruhan kerugian oleh peniaga itu lebih RM2.2 juta dengan wang pelaburan diperoleh daripada simpanan sendiri dan pinjaman rakan-rakan,” katanya.
Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial