SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama) -- Politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran untuk terus mempromosikan program yang menekankan penggunaan teknologi digital sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) masa kini.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata ini kerana penggunaan teknologi digital dalam PdP seperti kecerdasan buatan (AI), realiti augmentasi (AR) dan realiti maya (VR) amat membantu, khususnya dalam usaha meningkat kemahiran bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Beliau berkata kaedah PdP terutamanya di institusi pendidikan tinggi tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konvensional sebaliknya perlu seiring dengan kemajuan teknologi digital bagi melahirkan bakat negara yang relevan dan berdaya saing.
“Tahun ini buat pertama kalinya, teknologi ini dibawa dalam bentuk pameran seperti ini (POLYCC eDOLA Digital Fair 2025) agar pengunjung berpeluang melihat apakah teknologi yang digunakan dalam PdP di politeknik dan kolej komuniti,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT hari ini.
Terdahulu, Anesee merasmikan Majlis Penutupan POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 di sini hari ini.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran ILHAM@CeLT (Innovative Learning Hub for Advancing Method) sebuah inisiatif oleh Politeknik METrO Kuala Lumpur, sebagai pusat pembangunan bahan pengajaran digital berasaskan teknologi masa hadapan.
POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 yang berlangsung dua hari bermula semalam mengetengahkan pelbagai inovasi digital hasil warga POLYCC merangkumi teknologi AI, AR, VR, simulator penerbangan, robotik, e-sukan serta pelbagai demonstrasi digital.
Turut diadakan POLYCC- AWS League of Large Languange Model Bootcamp yang julung kali dibawa oleh Amazon Web Services (AWS) ke Malaysia, dengan POLYCC menjadi agensi pertama terpilih untuk menganjurkannya di negara ini.
Penganjuran POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 juga bertujuan memberikan kesedaran dan menyemarakkan budaya digital dalam masyarakat, selain pendedahan mengenai ekosistem TVET Digital yang dilaksanakan di POLYCC selari dengan Dasar Pendigitalan Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial