KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat keselamatan dan perkhidmatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi urusan perolehan pada 2022.
Nur Mohamad Fariz Abu Bakar, 36, yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Dia didakwa menggunakan dokumen yang diketahui palsu sebagai tulen iaitu sebut harga daripada sebuah syarikat berjumlah RM29,000 bertarikh 26 Ogos 2022 berkaitan permohonan nombor perolehan untuk membekal barangan kebersihan bagi seluruh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang, Terengganu dan Kelantan selama setahun.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Risda Security and Services Sdn Bhd di sini pada 30 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Suriawani Abdul Rahim mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum kerana perlu menanggung isteri, anak dan ibunya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 25 Ogos depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial