SEPANG, 24 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, di sini pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku 'Counter Setting', iaitu kerjasama antara pegawai imigresen dengan sindiket untuk membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pegawai penguat kuasa itu ditahan kira-kira 9.20 pagi tadi oleh Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tingkah laku mencurigakan pegawai terbabit di kaunter pemeriksaan masuk.
Menurut kenyataan itu, ketika ditahan, pegawai berkenaan didapati menyimpan wang tunai sebanyak RM8,391, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan mengandungi nombor pasport.
"Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah," menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan pegawai itu telah diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA bagi siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.
"AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti terutamanya yang melibatkan keselamatan pintu masuk negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.
"AKPS akan terus memberikan komitmen untuk terus memperkukuh pemantauan dalaman dan kerjasama antara agensi bagi memerangi salah laku dalam kalangan pegawai," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial