Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Kampung, Sekolah Angkat MADANI NRES Dijangka Siap Oktober Ini

27/07/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi fokus kepada empat skop projek berkeutamaan tinggi di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Ketua Setiausaha kementerian di Pendang, Kedah.

NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek KAM yang bernilai RM1 juta melibatkan Kampung Nangka Siam dan Kampung Lahar Tunjung manakala SAM dengan peruntukan RM100,000 dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pokok Asam (SKPA).

Menurut kenyataan itu, projek KAM yang merangkumi pembinaan telaga tiub sebagai sumber air alternatif, menaik taraf jalan kampung, dewan awam serta kawasan perkuburan Kampung Lahar Tunjung bertujuan mewujudkan komuniti yang sejahtera, berdaya tahan dan lestari.

Selain itu, NRES pada Jumaat lepas juga menganjurkan Program Semarak Desa KAM di Kampung Nangka Siam bagi mendekati masyarakat luar bandar melalui pelbagai aktiviti dan penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada komuniti setempat yang dirasmikan Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim.

Program itu menampilkan persembahan kebudayaan tarian komuniti Siam, silat, Muay Thai, sukan rakyat, sukaneka, kaunter perkhidmatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), selain pertunjukan gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut NRES, pelaksanaan KAM turut disokong pelbagai agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole of government melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

KAM merupakan inisiatif utama Kerajaan MADANI dalam usaha memperkasa kesejahteraan komuniti luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih baik serta pendekatan holistik dalam menangani isu kemiskinan dan pembangunan setempat.

Selain itu, NRES memaklumkan menerusi pelaksanaan program SAM di SKPA beberapa projek dan program akan dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan fasiliti bilik darjah bagi menyokong program Bilik Darjah Pintar.

Turut dilaksanakan aktiviti Pemantapan Pembelajaran Digital bagi memperkasa murid dengan kemahiran digital yang relevan dengan keperluan semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan