Polis Tahan Pasangan Kekasih, Rampas Ganja RM25,420

14/07/2025 04:22 PM

GEORGE TOWN, 14 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama kekasihnya warga Thailand kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah di sekitar Pulau Tikus dan Tanjong Tokong di sini pada 10 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pasangan berusia 25 dan 20 tahun itu ditahan di tepi jalan Pulau Tikus pada 11.30 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Timur Laut menerusi operasi membanteras aktiviti pengedaran dadah.

“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Tanjong Tokong dan hasil pemeriksaan menemukan 15 ketulan mampat daun kering dibalut plastik lutsinar disyaki ganja dianggarkan seberat 8,200 gram bernilai RM25,420.

“Hasil risikan mendapati sindiket itu aktif sejak awal tahun ini, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata dadah yang boleh digunakan 16,400 orang itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.

Suspek lelaki didapati positif dadah jenis Benzo dan mempunyai empat rekod kesalahan jenayah, manakala suspek wanita negatif dan tiada sebarang rekod.

Mereka direman selama tujuh hari sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan