Pasangan Suami Isteri Ditahan, Dadah RM3.1 Juta Disorok Dalam Peket Kacang Gajus

13/07/2025 07:45 PM

KOTA BHARU, 13 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peket kacang gajus selepas menahan sepasang suami isteri warga tempatan dan merampas pelbagai dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM3.1 juta Jumaat lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada 4 petang di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai selepas kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan 110 bungkusan plastik berisi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram (kg), ketulan mampat ganja seberat 6.95 kg serta 150 biji pil yaba.

“Keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM2.37 juta,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata susulan tangkapan itu, polis menyerbu kediaman pasangan terbabit di Selising, Pasir Puteh pada hari yang sama dan menemukan 22 kg ganja mampat bernilai RM775,000.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan di dua lokasi berkenaan ialah wang tunai, rantai leher dan barang kemas.

Mohd Yusoff berkata siasatan mendapati suspek wanita menjalankan perniagaan ayam proses manakala suaminya bekerja sebagai pemandu p-hailing dan pasangan itu dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak lebih setahun lepas dengan berselindung di sebalik perniagaan sah mereka.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian lain dan bertindak sebagai pembekal utama, termasuk untuk pasaran luar negara memandangkan nilai bunga ganja yang dirampas ini lebih tinggi berbanding daun ganja biasa,” katanya.

Beliau berkata saringan air kencing mendapati hanya suspek lelaki positif dadah manakala semakan menunjukkan pasangan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 17 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata polis tidak menolak kemungkinan sindiket dadah yang ditumpaskan baru-baru ini mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa, termasuk dalam kes rampasan 35.4 kg pil yaba pada 27 Jun lepas yang didalangi usahawan salun dan pemilik kedai makan.

Beliau berkata siasatan menyeluruh masih dijalankan dan polis sedang mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan.

Pada 3 Julai lepas, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas pil kuda seberat 35.4 kg bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat, dengan enam individu tempatan berusia 25 hingga 39 tahun turut ditahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan