Polis Rampas Dadah RM3.55 Juta, Tahan Tiga Individu Termasuk Dua Wanita Vietnam

14/07/2025 04:13 PM

JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.55 juta dalam lima serbuan operasi khas di sini pada 10 dan 11 Julai.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata tiga individu berusia 32 hingga 39 tahun itu, ditahan dalam operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJN Daerah Johor Bahru Selatan.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak April lepas dan menggunakan kediaman berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan serta memproses, dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini. 

Kumar berkata suspek lelaki ditahan di tepi jalan bersama sejumlah dadah, yang membawa kepada serbuan di lokasi lain termasuk bilik sewa di sebuah rumah kedai dan tiga kondominium mewah disewa bagi aktiviti itu.

Secara keseluruhan, Kumar berkata polis merampas kira-kira 20.7 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi, 18.49kg ganja, 154.25 gram ketamin dan 141 gram pil erimin 5, selain pelbagai peralatan memproses dan membungkus semula dadah serta wang tunai RM800.

Semua suspek didapati positif methamphetamine dan direman sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain siasatan terhadap dua wanita itu juga dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Kumar berkata trend pengedaran dadah ketika ini juga dilihat semakin beralih kepada bunga ganja berdasarkan rampasan dilakukan.

“Ini mungkin disebabkan bunga ganja mempunyai kesan mengkhayalkan lebih tinggi selain harga pasaran mahal, iaitu dianggarkan bernilai RM36,000 sekilogram,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan