KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM335,630 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata serbuan pertama dilakukan pada pukul 10.15 malam di tempat letak kereta sebuah apartmen di Taman Maluri, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun.
"Suspek merupakan seorang penganggur. Dalam serbuan itu, polis merampas 381.05 gram dadah jenis MDMA dan ketamin bernilai RM4,390," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan tangkapan itu, pihak polis menyerbu sebuah lokasi di Jalan Chan Sow Lin dan merampas 13.39 kilogram kokain, serbuk MDMA dan erimin 5, serta 5,000 liter cecair MDMA. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM317,394.
Menurut beliau, serbuan ketiga dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak pada pukul 12.30 tengah malam, yang menyaksikan dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 42 tahun ditahan.
"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, erimin 5, pil ekstasi, kokain dan ketamin dengan nilai rampasan RM11,567, selain dua buah kereta dan wang tunai RM100.
"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif amphetamine dan methamphetamine dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Julai ini, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial