JOHOR BAHRU, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 114 pendatang tanpa izin dalam Op Gempur Sasaran di sembilan kilang membabitkan lima daerah di negeri ini, Rabu lepas.
Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata serbuan secara serentak pada 10.30 pagi di Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat itu melibatkan 122 pegawai Bahagian Penguat Kuasa Negeri, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Tangkapan terdiri daripada 44 lelaki Bangladesh, lapan lelaki warga India, sembilan lelaki Pakistan, 28 lelaki Nepal, lapan warga Indonesia termasuk dua wanita, enam lelaki dan enam wanita Myanmar, tiga lelaki dan seorang wanita Vietnam serta seorang wanita Kemboja dengan kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun.
"Turut ditahan empat lelaki tempatan berusia 50 hingga 60 tahun yang merupakan pemilik syarikat, pengurus gudang dan pengurus syarikat pembekalan pekerja asing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata majikan warga tempatan pula ditahan untuk siasatan di bawah kesalahan Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi serta membenarkan pendatang memasuki atau tinggal dalam premis.
"Sebanyak 10 Notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan, sementara semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas untuk siasatan lanjut.
"Pada masa sama, kita akan terus memperkasakan penguatkuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen," katanya dan turut menyeru pendatang berkelayakan menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang bermula pada 19 Mei lepas hingga 30 April 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial