Bekas Pengarah APMM Terima Suapan Dipenjara 20 Bulan

30/05/2025 04:39 PM

JOHOR BAHRU, 30 Mei (Bernama) -- Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima suapan RM10,000, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zulfadli Nayan, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Setelah mendengar dan menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpendapat tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah memutuskan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara selama 20 tahun berkuat kuasa pada hari ini," katanya.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili lelaki itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara berikutan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit.

Terdahulu, peguam itu merayu hukuman denda atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia tiga hingga 11 tahun.

Beliau berkata anak guamnya ditahan kerja sejak 23 Mei 2021 dan sepanjang tempoh itu, tertuduh bekerja sebagai pemandu e-hailing dan membuat kerja pendawaian elektrik dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

"Tertuduh juga ada sakit gout, migrain yang serius dan gastrik, dia mengambil ubat-ubatan secara berkala," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim Wai Keong memohon hukuman setimpal dikenakan untuk kepentingan awam.

"Sebagai pegawai kanan Persekutuan, tertuduh perlu memastikan perundangan dilaksanakan dan keselamatan perairan terpelihara, tetapi dia bersetuju menerima RM10,000 daripada ejen kapal yang jelas bertentangan dengan tanggungjawabnya serta mencemarkan imej Maritim Malaysia," katanya.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, di sini pada 10 malam, 2 Okt 2020.

Dia didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 Sept 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Dis 2024, Ahmad Kamal Arifin memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan dihadapinya itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Sebanyak 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi ketika prosiding membela diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan