IPOH, 27 Mei (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1.47 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan perniagaan secara dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 75 tahun itu telah membuat laporan berkaitan kejadian pada Ahad lepas.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, didapati pada 15 April lepas mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita menawarkannya menjadi rakan kongsi satu syarikat untuk membeli barang daripada satu lagi syarikat di luar negara.
“Setelah menyemak status syarikat, didapati syarikat terbabit telah beroperasi sejak 1989 dan mangsa bersetuju untuk menjadi rakan kongsi serta seterusnya diminta memuat turun satu aplikasi.
"Jika pelanggan membeli barang, mangsa hanya perlu membayar pada harga tersebut dan akan mendapat komisen sebanyak 30 peratus," katanya dalam kenyataan malam ini.
Noor Hisam berkata mangsa telah membayar wang pendahuluan berjumlah RM22,122 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat.
"Akibat percaya dengan pulangan berkenaan, mulai 17 April hingga 16 Mei 2025, mangsa telah melakukan transaksi wang keseluruhan berjumlah RM1,470,734 ke dalam enam akaun bank berbeza atas nama syarikat secara pindahan dalam talian dan hadir ke kaunter bank," katanya.
Beliau berkata selepas kejadian itu, mangsa tidak menerima sebarang pulangan lalu berasa telah ditipu.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial