Empat Lelaki Didakwa Cederakan Seorang Lelaki Guna Parang

28/05/2025 03:14 PM

BUTTERWORTH, 28 Mei (Bernama) -- Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang di hadapan Jalan Perak Duck, Jalan Raja Uda pada 8.35 malam, 16 Mei lepas.

K. Ravindran, 28; D. Sathea, 32; Muhammad Ilyas Kalairasan Abdullah, 33, dan B. Thanabala Singam, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Ravindran dan Sathea didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah menyebabkan cedera parah ke atas Ooi Jing Wei, 36, dengan menggunakan parang, manakala Muhammad Ilyas Kalairasan dan Thanabala Singam didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu.

Pertuduhan terhadap Ravindran dan Sathea dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala Muhammad Ilyas Kalairasan dan Thanabala Singam didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan serta memohon syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Y. Yogeswaran yang mewakili keempat-empat tertuduh merayu agar ditawarkan jaminan munasabah kerana kesemua mereka menanggung ahli keluarga, sementara Muhammad Ilyas Kalairasan akan berkahwin pada minggu depan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dan bersetuju dengan syarat tambahan pihak pendakwaan sebelum menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan