SIBU, 28 Mei (Bernama) -- Seorang pesara jurutera swasta di sini kerugian RM224,403 dalam tempoh sebulan selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang kononnya menghasilkan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu menyedari ditipu apabila dia dikehendaki membayar RM100,700 sebagai bayaran cukai untuk mengeluarkan keuntungan berjumlah RM750,000.
Beliau berkata mangsa mula tertarik dengan tawaran itu yang diiklankan sebagai Investment Stock Market oleh sebuah syarikat bernama KKR Investment di aplikasi Instagram pada 9 April lepas dan mendapat penjelasan berhubung pelaburan itu daripada wakil syarikat berkenaan menerusi WhatsApp.
“Sekiranya bersetuju, mangsa telah dikehendaki untuk memuat turun aplikasi KKR investment bagi tujuan pendaftaran. Mangsa juga dimaklumkan segala keuntungan terkumpul boleh disemak melalui aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Zulkifli berkata bermula 9 April hingga 7 Mei, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 11 kali berjumlah RM224,403 ke empat akaun tempatan berlainan dan menghubungi wakil syarikat itu apabila keuntungan pelaburannya mencapai RM750,000.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berhati-hati agar tidak mudah terjebak dengan sebarang tawaran keuntungan atau pulangan tinggi menerusi pelaburan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial