BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kehadiran Trump Keputusan Bersama Pemimpin ASEAN - Ahmad Zahid

05/10/2025 03:51 PM

JOHOR BAHRU, 5 Okt (Bernama) -- Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hujung bulan ini bukan keputusan eksklusif Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya konsensus semua negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara dibuat kesemua 10 pemimpin ASEAN berkenaan.

Ahmad Zahid berkata bagaimanapun, Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang sebarang campur tangan Amerika Syarikat dalam isu Gaza dan Palestin.

“Trump ialah Presiden Amerika Syarikat, namun ini tidak menghentikan ketidaksetujuan kita jika ada campur tangan Amerika terhadap apa yang berlaku di Gaza dan Palestin.

“Pendirian itu tidak pernah berubah, namun sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin-pemimpin ASEAN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini hari ini.

Menurut beliau, isu kehadiran Trump itu juga berkemungkinan dibahas pada sidang Parlimen yang akan bermula esok.

“Mereka (Ahli Parlimen) boleh berbeza pendapat, tetapi kita harus menghormati keputusan Sekretariat ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan