BATU KAWAN, 5 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Imigresen FC (IFC) Yusri Che Lah mahu pasukannya menggunakan tempoh rehat tiga minggu sebelum menentang Sabah FC pada 26 Okt ini untuk memperbaiki kelemahan serta memulihkan semula keyakinan pemain.
Menurutnya kekalahan 1-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super hari ini bukan keputusan yang diharapkan, namun menjadi pengajaran berguna buat pasukan yang masih dalam proses pembentukan.
“Saya anggap kekalahan ini datang pada waktu yang sesuai untuk kita belajar dan memperbaiki diri. Kita berdepan pasukan yang sudah lama bersaing di liga, sedangkan IFC masih baharu dan perlu bekerja lebih keras untuk memberi saingan.
“Selain kecederaan beberapa pemain yang memerlukan pemantauan, tahap keyakinan juga perlu dipulihkan segera,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Batu Kawan, di sini.
Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan berusia 49 tahun itu mengakui kelemahan benteng pertahanan menjadi punca utama IFC mudah dibolosi dan menegaskan situasi itu perlu ditangani segera jika tidak mahu terus kehilangan mata.
“Kami tidak boleh terus keciciran mata, apatah lagi dengan jurang jaringan yang besar. Tempoh rehat ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkukuh semangat dan meningkatkan kefahaman terhadap corak permainan yang saya terapkan,” katanya.
IFC masih mencari kemenangan pertama selepas enam perlawanan dan kini kekal di tangga tercorot liga.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC Christophe Gamel menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda positif terhadap perkembangan pasukannya, namun mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
“Saya akan terus bekerja keras bersama pasukan untuk memperkukuh apa yang telah kami bina dan mengekalkan semangat positif serta, paling utama, corak permainan menyerang kerana saya amat percaya kepada gaya permainan menyerang,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC berada di tangga kelima dengan sembilan mata selepas tiga kemenangan dan tiga kekalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial