SEREMBAN, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Warga Emas (PTWEN) 2026-2030 bagi memperkukuh kesejahteraan, kebajikan dan keperluan golongan itu sekali gus sebagai persediaan menghadapi status negara tua.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata beberapa strategi ditambah baik menerusi pelan berkenaan termasuk meningkatkan usaha mempelbagaikan program kesedaran individu, keluarga dan masyarakat mengenai warga emas dan isu penuaan.
Beliau berkata selain itu, PTWEN 2026-2030 juga memantapkan tadbir urus penjagaan jangka panjang yang bersepadu dan memperkasakan skim bantuan sosial untuk warga emas.
“Kerajaan telah meluluskan Dasar dan PTWEN 2010-2020 pada 5 Jan 2011. Ia merupakan kesinambungan daripada Dasar Warga Tua Kebangsaan dan dibangunkan serta diselarikan dengan dokumen antarabangsa dan juga dasar semasa negara.
“Pelan tindakan sedia ada telah tamat tempoh pada 2020. Justeru, selaras dengan keperluan semasa dan akan datang, PTWEN yang baharu perlu dibangunkan selaras dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau berkata demikian berucap melancarkan pelan tersebut pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan di sini malam ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata sambutan Hari Warga Emas iaitu “Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita” mengingatkan bahawa warga emas bukan sahaja dikenang kerana sumbangan masa lepas, tetapi dihormati kerana peranan mereka hari ini dan inspirasi mereka untuk generasi akan datang.
Beliau berkata warga emas bukanlah beban kepada negara sebaliknya mereka adalah aset berharga negara dan penyimpan hikmah, penghubung generasi serta teladan yang wajar disanjungi.
“Mereka juga berperanan penting dalam agenda nasional dan global yang bertindak sebagai mentor dan pembimbing generasi muda selain penghubung keluarga dan budaya serta ejen advokasi dalam isu kesejahteraan sosial dan kelestarian,” katanya.
Beliau berkata dalam lima dekad kebelakangan ini, jangka hayat rakyat Malaysia meningkat daripada 63 tahun kepada 76 tahun yang merupakan hasil usaha bersama dalam kesihatan dan kesejahteraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial