BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peranan Pengantara Malaysia Serlahkan Pemusatan ASEAN

05/10/2025 04:31 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kejayaan Malaysia sebagai pengantara dalam konflik Kemboja-Thailand menyerlahkan peranan utama ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian serantau tanpa campur tangan kuasa luar, kata Profesor Dr Farish A. Noor.

Sarjana dari Universitas Islam Internasional Indonesia itu berkata kedua-dua negara berkenaan memilih untuk menyelesaikan pertikaian mereka dalam kerangka ASEAN dan bukan melalui kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China, sekali gus mencerminkan kepentingan berterusan blok itu dalam memelihara kestabilan serantau.

Beliau memberi amaran bahawa membuka ruang kepada pihak luar hanya akan mengundang campur tangan yang tidak diingini dalam politik Asia Tenggara.

“Saya bersyukur rundingan itu tidak diadakan di tempat seperti Washington DC atau Beijing. Itu sekali lagi mengingatkan kita tentang Pemusatan ASEAN.

“Mana-mana negara yang memegang jawatan pengerusi ASEAN mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa menegaskan bahawa kita ialah jiran - sama ada kita suka atau tidak - dan apa sahaja yang berlaku antara kita, sama ada pertikaian ekonomi atau politik, mesti diselesaikan sesama kita dahulu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peranan ASEAN dalam pertikaian Kemboja-Thailand berakhir dengan positif, menunjukkan keupayaan blok itu mengendalikan isu sensitif.

Farish menegaskan bahawa ASEAN perlu sentiasa sedar akan kepentingan strategik dan ekonominya sendiri.

“Kuasa luar sentiasa akan mencari jalan untuk memainkan peranan lebih menonjol dalam politik kita, malah ada kalanya mahu mengambil kredit atas sesuatu yang bukan usaha mereka,” katanya.

Merujuk kepada proses pemulihan Kemboja selepas konflik Khmer Rouge, beliau berkata ASEAN memainkan peranan penting dalam memulihkan keamanan dan kestabilan, sekali gus membuktikan bahawa pertubuhan itu tidak bersikap pasif dalam menangani cabaran serantau.

Namun, beliau mengakui terdapat batasan dalam ASEAN memandangkan, tidak seperti Kesatuan Eropah, ia beroperasi berdasarkan prinsip tidak campur tangan dan tidak memiliki mekanisme seperti mahkamah serantau, mata wang tunggal atau kewarganegaraan bersama.

“Itu tidak bermakna segala yang dilakukan ASEAN sempurna, tetapi ASEAN tidak pernah pasif. Apabila ada masalah di Asia Tenggara, secara automatik ia menjadi masalah kita,” katanya.

Mengenai cabaran semasa, Farish berkata krisis di Myanmar kekal sebagai ujian besar yang menjejaskan kredibiliti ASEAN.

“Cabaran utama bagi pengerusi ASEAN seterusnya ialah menangani isu Myanmar, kerana ia menjadi faktor yang menjejaskan imej ASEAN apabila wujud tanggapan bahawa ASEAN tidak melakukan secukupnya,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa tekanan yang semakin meningkat terhadap ASEAN untuk bertindak boleh membuka ruang kepada campur tangan lebih langsung oleh pihak luar.

“ASEAN amat menitikberatkan kedaulatan politik dan autonomi negara anggotanya agar tidak dikompromi. Saya tidak tahu bagaimana krisis Myanmar akan berakhir, tetapi saya berharap pihak berkuasa di Myanmar memahami bahawa tindak-tanduk mereka turut memberi tekanan besar kepada ASEAN,” katanya.

Myanmar kini berdepan krisis politik dan kemanusiaan berlarutan sejak tentera menggulingkan kerajaan sah yang diterajui Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pada 1 Feb 2021.

Pada April tahun yang sama, pemimpin ASEAN mengadakan mesyuarat khas dan menerima pakai Konsensus Lima Perkara yang antara lain menyeru gencatan senjata segera, mengadakan dialog konstruktif dengan semua pihak berkepentingan bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta menilai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN akan terus mendesak Myanmar supaya melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara dan menyokong usaha Utusan Khas untuk memudah cara dialog antara semua pihak berkepentingan ke arah mengembalikan proses perdamaian nasional.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan