BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejayaan Besar Diplomasi Malaysia Bawa Pulang Sukarelawan GSF - Fadhlina

05/10/2025 01:24 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Okt (Bernama) -- Tindakan membawa pulang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Israel lambang manifestasi kejayaan besar hubungan diplomatik Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha itu membuktikan keupayaan diplomasi tinggi kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan antarabangsa terjamin.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kita telah dimaklumkan bahawa semua aktivis kita akan dibawa pulang dari Istanbul,Turkiye ke Kuala Lumpur. 

“Jadi, insya-Allah kita bawa mereka pulang dan kita rancang semula bagaimana kita harus membawa terus mesej dan misi kemanusiaan ini ke hadapan, khususnya untuk terus memberikan sokongan kepada rakyat Gaza,” kata Ketua Wanita PKR itu kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Antibuli di Yayasan Aman, Penanti di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Semalam, Anwar berkata 23 rakyat Malaysia anggota delegasi GSF yang berada di dalam tahanan rejim Zionis dibawa keluar dari Israel menggunakan sebuah pesawat khas ke Istanbul.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel selain menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan