BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejayaan Bawa Pulang 23 Aktivis GSF - Bukti Kecekapan Diplomasi Kerajaan

05/10/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kejayaan membawa pulang semua 23 aktivis Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) memperlihatkan kecekapan diplomasi lintas sempadan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di tengah-tengah landskap geopolitik Timur Tengah yang kompleks, pendekatan rundingan tertutup melalui negara ketiga seperti Jordan, Qatar dan Turkiye menyerlahkan kematangan diplomasi berprinsip Malaysia yang mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan sejagat dengan kepentingan keselamatan negara.

Keupayaan ini turut memperlihatkan tahap kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai pengantara yang berwibawa, neutral dan berempati.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pendekatan yang menggabungkan diplomasi kemanusiaan dan diplomasi reputasi itu menunjukkan ketegasan Malaysia dalam menentang kezaliman, namun tetap pragmatik dalam melindungi warganya.

“Kerajaan bijak menggunakan beberapa bentuk diplomasi alternatif antaranya diplomasi pihak ketiga, diplomasi multilateral dan diplomasi kemanusiaan, tanpa berkonfrontasi, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata menerusi diplomasi kemanusiaan, tumpuan bukan kepada politik tetapi kepada keselamatan sukarelawan dan prinsip kemanusiaan sejagat — satu pendekatan selaras dengan pendirian Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan pembukaan koridor kemanusiaan untuk Gaza.

“Melalui diplomasi multilateral, Malaysia pula dapat menggunakan kedudukannya dalam platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Rakan Dialog ASEAN untuk memberikan tekanan diplomatik tidak langsung kepada Israel melalui suara kolektif,” katanya.

Menurutnya kejayaan ini mengukuhkan persepsi rakyat terhadap Perdana Menteri sebagai pemimpin berani, berprinsip dan berempati, selain menonjolkan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai moral voice of the Global South yang konsisten memperjuangkan prinsip kemanusiaan sejagat.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan keberhasilan diplomasi tersebut sebagai lambang komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan kemanusiaan serta solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kejayaan diplomasi berteraskan nilai MADANI itu membuktikan keupayaan Malaysia mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan negara dengan penuh wibawa.

“Pendekatan ini wajar dijadikan asas untuk memperkukuh diplomasi kemanusiaan Malaysia bersama masyarakat sivil serantau dan dunia Islam,” katanya.

Perdana Menteri dalam siaran langsung di Facebook semalam memaklumkan bahawa proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat di peringkat antarabangsa, termasuk perbincangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan; serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.

Anwar berkata rundingan turut melibatkan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani; Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Menurut beliau, usaha membawa pulang mangsa bukan sahaja membabitkan keselamatan delegasi Malaysia dan Turkiye, tetapi turut merangkumi aktivis dari Eropah serta negara lain.

Sementara itu, rakyat pelbagai kaum dan usia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan susulan kejayaan pembebasan aktivis berkenaan yang kini selamat berada di Istanbul, Turkiye.

Ucapan terima kasih kepada Anwar membanjiri media sosial sejak semalam, selain penghargaan kepada 23 sukarelawan negara atas keberanian dan komitmen tinggi mereka sepanjang misi sukar tersebut.

Semua aktivis Malaysia dilaporkan dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan