BELANJAWAN 2025 > BERITA

NGC Energy, Mula Meterai MoU Untuk Memperkasakan Sektor Dobi Malaysia

18/07/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- NGC Energy Malaysia mengambil langkah strategik dalam menyokong industri dobi dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Dobi Bersatu Melayu (MULA).

NGC Energy dalam kenyataan memaklumkan kerjasama ini bertujuan menawarkan penyelesaian gas petroleum cecair (LPG) yang selamat, patuh peraturan dan kos efektif kepada para pengusaha dobi di seluruh negara.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif NGC Energy Julianna Kamaruddin dan Presiden MULA Zarina Ismail semasa Forum Industri Dobi 2025 yang diadakan di MeReka, Publika Shopping Gallery di sini pada Selasa.

Julianna berkata NGC Energy yang berperanan sebagai perintis dalam bidang kejuruteraan LPG di Malaysia menawarkan rangkaian lengkap penyelesaian LPG, daripada bekalan pukal dan sistem paip kepada silinder komersial seperti C50 dan C14 yang direka untuk memenuhi keperluan sektor dobi yang semakin berkembang.

“Matlamat kami mudah untuk memastikan setiap pengendali dobi di bawah MULA mempunyai akses kepada bekalan dan pemasangan LPG yang sesuai dan selamat, bantuan permohonan lesen dan permit serta perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai melalui rangkaian kami di seluruh negara,” katanya.

NGC Energy memaklumkan kerjasama ini tercetus hasil maklum balas pelanggan dengan hasrat untuk memperluaskan sokongan kepada semua ahli MULA, khususnya ramai pengusaha dobi masih kurang jelas tentang keperluan permit dan peraturan keselamatan, terutamanya susulan penguatkuasaan di bawah Op Gasak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Dalam tempoh terdekat, NGC akan menyokong ahli dengan bimbingan teknikal dan membantu dengan pematuhan peraturan yang diperlukan. Dalam jangka panjang, NGC berharap menjadi rakan kongsi LPG sehenti untuk industri dobi, menyediakan bukan sahaja bekalan gas tetapi juga perkongsian ilmu, latihan dan sokongan berterusan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, inisiatif ini juga mencerminkan strategi NGC Energy yang lebih luas untuk mengukuhkan segmen Perindustrian dan Komersial (I&C), meletakkan NGC sebagai penyedia penyelesaian LPG pilihan utama bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan rangkaian pengedaran LPG yang luas di Malaysia dan Pusat Khidmat Pelanggan (CSC) yang berdedikasi, NGC memberi jaminan kepada ahli MULA tentang penghantaran gas yang lancar dan selamat, daya saing harga serta sokongan segera.

“Kerjasama ini juga membuka peluang untuk pemasaran silang, pertukaran inovasi dan pengukuhan kerjasama antara kedua-dua organisasi,” menurut kenyataan itu.

NGC Energy mengalu-alukan persatuan dobi lain dan pengusaha PKS di seluruh Malaysia untuk menjalin kerjasama seumpama ini bagi memacu pematuhan, pertumbuhan dan inovasi bersama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan