BELANJAWAN 2025 > BERITA

MIGHT, Universiti Bekerjsama Pacu REE Sebagai Industri Utama Malaysia Akan Datang

17/07/2025 08:46 AM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kerjasama antara Kumpulan Industri-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pengkomersialan Unsur Nadir Bumi (REE) menandakan satu langkah besar ke arah menjadikan REE sebagai industri utama negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), turut menjadi langkah penting bagi Malaysia membangunkan kedaulatan teknologi dalam bidang ini melalui ekosistem yang saling berkait.

“Inisiatif ini juga bertujuan membentuk keutamaan nasional dalam bidang REE, termasuk pembangunan bakat dan keupayaan, pertukaran ilmu, kepakaran penyelidikan dan sumber teknikal untuk menyokong inisiatif bersama dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan kapasiti,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan MIGHT hari ini.

Pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak bagi kerjasama strategik itu, MIGHT diwakili Rushdi, manakala UMK dan UMPSA masing-masing diwakili Naib Canselor mereka Prof Dr Arham Abdullah dan Prof Dr Yatimah Alias.

Kerjasama tiga tahun itu, bertujuan memperkasakan inisiatif penyelidikan pada peringkat nasional serta memperkukuh kurikulum akademik dan program latihan dalam bidang REE dan bahan termaju. Fokus akan diberikan kepada inovasi yang berpotensi tinggi untuk penjanaan harta intelek dan pengkomersialan pada masa hadapan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Malaysia memiliki sumber Unsur Nadir Bumi (REE) yang signifikan, dianggarkan sebanyak 16.1 juta tan metrik REE tidak radioaktif (NR-REE), dengan nilai mencecah RM1 trilion, meletakkan negara sebagai antara peneraju dalam rantau Asia Tenggara bersama Vietnam dan Myanmar.

Menurut kenyataan itu menjelang tahun 2030, pengeluaran hiliran bagi NR-REE Malaysia dijangka menjana pendapatan sebanyak RM13.59 bilion, terutamanya menerusi pengilangan magnet super dan motor elektrik.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama Yatimah berkata angka-angka itu menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kelestarian, daya tahan rantaian bekalan, serta impak terhadap alam sekitar, sekali gus menyeru kepada pembangunan industri REE yang lebih bertanggungjawab.

“Sejak 2013, Pusat Kelestarian Mineral Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT) UMPSA telah membangunkan keupayaan menyeluruh dalam rantaian nilai REE, merangkumi pencairan tanah, pengekstrakan pelarut, penyingkiran kekotoran hingga ke pengesahan teknologi berskala perintis.

“SMaRRT juga aktif dalam aktiviti pasca perlombongan dan pembangunan modal insan berkaitan REE,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata Malaysia, khususnya Kelantan dikurniakan dengan simpanan tanah liat jerapan ion yang kaya dengan unsur nadir bumi (REE). Namun begitu, cabaran utama adalah untuk mengekstrak dan memanfaatkan sumber ini secara lestari, beretika dan dipacu oleh inovasi.

“Pusat Kecemerlangan UMK, iaitu Pusat Teknousahawan Emas, Nadir Bumi dan Bahan (GREAT), ditubuhkan bagi menerajui usaha penyelidikan, inovasi, pembangunan keupayaan dan kerjasama industri dalam sumber mineral strategik, khususnya REE dan emas, merangkumi keseluruhan rantaian nilai,” katanya.

Menurut kenyataan MIGHT, saiz pasaran global bagi REE dijangka mencecah US$8.14 bilion menjelang tahun 2032, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 10.2 peratus bagi tempoh antara 2024 hingga 2032.

“Perkembangan ini mendorong peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya dalam kalangan negara yang memiliki sumber REE yang banyak, kapasiti industri yang kukuh, asas teknologi yang mantap serta kepentingan strategik dalam mineral penting,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan