BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hujan Lebat Tenggelamkan Tanah Pertanian Seluas 18,000 Padang Bola Sepak Di Korea Selatan

19/07/2025 12:33 AM

SEOUL, 18 Julai (Bernama-Yonhap) -- Jumlah keseluruhan kawasan tanah pertanian yang rosak akibat hujan lebat melanda Korea Selatan dalam tempoh dua hari lepas bersamaan dengan 18,000 padang bola sepak, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar pada Jumaat, sebanyak 13,033 hektar tanah pertanian dianggarkan ditenggelami air setakat Khamis akibat hujan lebat itu.

Wilayah Chungcheong Selatan di bahagian tengah negara itu paling teruk terjejas, merangkumi lebih 95 peratus daripada kawasan yang rosak, manakala lebih 12,000 hektar atau lebih 80 peratus daripada kawasan terjejas, adalah sawah padi.

Bagi sektor ternakan pula, 56 ekor lembu, 200 ekor babi dan 600,000 ekor ayam dilaporkan mati ekoran hujan lebat itu.

Dengan kerosakan yang semakin meningkat berikutan hujan berterusan, Menteri Pertanian Song Mi-ryung mempengerusikan mesyuarat kecemasan pada Jumaat bagi membincangkan langkah pemulihan.

Kementerian merancang untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan dan kerajaan tempatan bagi mengelakkan kerosakan lanjut, serta mempercepatkan penilaian kerosakan agar mereka yang terjejas boleh menerima bayaran insurans dan subsidi secepat mungkin.

-- BERNAMA-YONHAP


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan