BELANJAWAN 2025 > BERITA

UPNM, MSN Jalin Kerjasama Perkukuh Pembangunan Sukan Dan Akademik

17/07/2025 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memeterai surat niat (LI) bagi menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh pembangunan sukan dan akademik, khususnya dalam kalangan atlet serta jurulatih negara.

Majlis menandatangani LoI itu disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sempena Program Rakan Muda Turun Kampus siri keenam 2025 di UPNM, Kem Perdana Sungai Besi di sini.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan program akademik secara pembelajaran berasaskan kerja  (WBL) bagi meningkatkan daya saing serta memperkukuh kebolehpasaran atlet dan jurulatih melalui pengiktirafan kemahiran, pengalaman dan kepakaran mereka.

Inisiatif ini juga melibatkan pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik sedia ada.

Selain itu, LoI ini turut membolehkan warga MSN, atlet serta jurulatih berpengalaman yang tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian melalui laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A).

Turut ditawarkan ialah peluang kemasukan ke program akademik di UPNM melalui saluran khas bagi atlet dan jurulatih, selain bidang-bidang lain yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.

Menurut Hannah, kerjasama itu selaras dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkasa ekosistem pembangunan sukan secara menyeluruh, termasuk aspek pendidikan.

“Kita mahu memperkasakan lagi pelajar yang ingin bersukan dan pada masa sama bantu atlet untuk terus belajar serta membina kerjaya selepas bersara daripada arena sukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Turut hadir Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.

Program Rakan Muda Turun Kampus adalah platform bagi membolehkan penuntut institusi pengajian tinggi menyampaikan aspirasi, pandangan dan idea berkaitan pembangunan belia dan sukan secara terus kepada KBS.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 10 siri Program Rakan Muda Turun Kampus akan dilaksanakan melibatkan penyertaan sekitar 5,000 pelajar. Program ini turut disemarakkan dengan aktiviti interaktif oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan stesen radio Rakita.

Inisiatif itu selari dengan nilai Keyakinan dan Ihsan di bawah konsep Malaysia MADANI, yang menekankan kepentingan mendengar suara belia, menyantuni keperluan mereka serta memberi ruang untuk golongan muda menyumbang kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan