BELANJAWAN 2025 > BERITA

MOSTI Beri Kerjasama Penuh Siasatan Insiden Helikopter Terhempas

11/07/2025 12:46 AM

JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kemalangan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai, Gelang Patah pagi tadi. 

MOSTI memaklumkan dalam kenyataan malam ini bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kementerian komited untuk memastikan semua aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh.

“MOSTI komited memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan serta memastikan semua aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Insiden berlaku kira-kira 10.15 pagi berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. 

MOSTI berkata pasukan penyelamat di lokasi bertindak pantas menyelamatkan kesemua lima kru helikopter yang kini menjalani rawatan.

Kementerian itu turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran MITSATOM kali ini bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 dengan Atom Malaysia menggalas peranan sebagai Pengerusi Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM) di bawah Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).

Latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pengesanan dan tindak balas negara anggota ASEAN dalam menangani kejadian keselamatan nuklear membabitkan penyeludupan bahan radioaktif atau nuklear rentas sempadan darat Malaysia-Thailand, Malaysia-Singapura serta sempadan laut Malaysia-Indonesia.

Terdahulu Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata dua mangsa kritikal dan sedang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah di sini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan