JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Dua daripada lima anggota polis yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas ketika latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) pagi tadi, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata berkata tiga lagi mangsa dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Beliau berkata kelima-lima mereka, menerima rawatan segera dengan bantuan doktor pakar di hospital berkenaan sejurus selepas insiden berlaku.
“Alhamdulillah, dengan pertolongan dan bantuan daripada doktor pakar di HSA, saya percaya kita dapat memberikan rawatan terbaik kepada mereka. Kita doakan mereka sembuh dan dapat berkhidmat seperti biasa, insya-Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di HSA hari ini.
Mohd Khalid berkata tiga daripada mangsa ialah anggota Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala dua lagi bertugas di Balai Polis Tanjung Kupang.
Helikopter AS355 milik PDRM itu dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan MITSATOM 2025, yang melibatkan empat negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan PDRM telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
Mengulas dakwaan bahawa helikopter yang digunakan itu aset lama, Mohd Khalid berkata isu usia bukan faktor utama sekiranya penyelenggaraan dilakukan dengan baik.
“Lama tidak menjadi masalah, yang penting penyelenggaraan dilakukan dengan baik. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu di luar kawalan kita,” katanya.
Mohd Khalid turut memberi jaminan bahawa pihak polis akan menjaga kebajikan semua anggota terlibat serta keluarga mereka.
CAAM memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika dihubungi berkata anggota dan pegawai yang terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom, pemerhati udara Koperal Adeline Liu Yan Siu, anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri Konstabel R.G Devendran.
Beliau berkata mereka sedang mengadakan latihan bagi menguji keberkesanan kesiapsiagaan dan tindakan balas negara bagi menangani kejadian keselamatan nuklear melibatkan penyeludupan bahan radioaktif dan bahan nuklear merentas sempadan darat dan laut negara.
Azmi berkata PDRM juga akan mewujudkan jawatankuasa untuk menilai penggunaan helikopter berkenaan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM ketika ini.
“Satu jawatankuasa akan dilantik segera untuk menjalankan penilaian secara holistik khusus untuk helikopter AS355N ini berdasarkan tempoh perolehannya yang sudah melebihi 28 tahun dan susut keupayaan serta lain-lain faktor teknikal,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid dalam kenyataan menasihatI orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video insiden terbabit yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi PDRM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial