BELANJAWAN 2025 > BERITA

Semakan Tarif Air Wajar Demi Kelestarian Bekalan

11/07/2025 08:21 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Permohonan semakan semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air oleh operator perkhidmatan di 10 negeri bertujuan menjamin kelestarian perkhidmatan itu, di samping membolehkan kualiti pengurusan dipertingkatkan. 

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan mengadakan rundingan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri itu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semakan semula kadar tarif tidak akan membebankan rakyat.

“Kita masih dalam peringkat awal. Kita akan adakan rundingan dengan SPAN dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Aspirasi Pahang 1st di Dewan Tertutup SUKPA di Kuantan, semalam. 

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri Datuk Mohamad Yusoff Zakaria berkata sumber kewangan yang kukuh amat penting bagi membolehkan operator membuat penambahbaikan dalam pengurusan bekalan air.

"Pelarasan tarif perlu memandangkan kos elektrik dan pengeluaran seperti bahan kimia semakin meningkat, namun permohonan 10 operator pengeluaran air masih di peringkat penilaian dan belum dimuktamadkan oleh SPAN," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di KELANTAN, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin turut menyokong pelarasan tarif bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan untuk kebaikan rakyat.

Beliau berkata langkah itu akan membantu menstabilkan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sekali gus membolehkan penambahbaikan perkhidmatan air kepada pengguna.

"Sebanyak 10 negeri bersepakat memberi cadangan tersebut kepada SPAN, namun pelaksanaannya bergantung kepada persetujuan Exco bertanggungjawab," katanya. 

Sementara itu, di JOHOR, Ranhill SAJ sebagai operator perkhidmatan air negeri sedang merangka penyelarasan tarif air dengan penuh teliti supaya tidak membebankan sebahagian besar pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani berkata dana daripada pelarasan akan digunakan untuk menaik taraf sistem paip lama, membaiki kehilangan air, menambah baik loji rawatan dan memperkukuh infrastruktur bekalan.

Beliau turut menekankan komitmen syarikat dalam membantu golongan rentan melalui rebat khas dan memohon sokongan berterusan pengguna.

“Kami mohon sokongan dan kepercayaan berterusan daripada semua pihak khususnya pengguna. Setiap pelarasan merupakan pelaburan dalam memastikan pengguna sedia ada serta generasi akan datang tidak akan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air berkualiti,” katanya.

Pada Rabu lepas, SPAN mengesahkan menerima permohonan semakan semula kadar tarif daripada operator air di 10 negeri, iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Pahang.

Kesemua permohonan masih dalam proses penelitian bagi memastikan setiap aspek dinilai teliti sebelum kelulusan diberikan, dengan keutamaan kepada kesejahteraan 27.2 juta pengguna dan kemampuan operator menyediakan perkhidmatan berkualiti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan