BELANJAWAN 2025 > BERITA

Helikopter Terhempas: PDRM Tumpu Usaha Cari Kotak Hitam - KPN

10/07/2025 06:24 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menumpukan usaha mengesan kotak hitam helikopter yang terhempas di Sungai Pulai, berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah pagi tadi.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pencarian itu dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), APMM dan agensi lain yang mempunyai kepakaran dalam siasatan teknikal.

Selain pencarian kotak hitam, beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha menaikkan bangkai helikopter yang dipercayai tenggelam di dasar sungai.

“Kita masih menunggu maklumat daripada kotak hitam. Usaha sedang digembleng dengan kerjasama pelbagai agensi dan ia melibatkan kepakaran teknikal yang khusus,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di jeti berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar.

Menurut Mohd Khalid, proses mengangkat bangkai helikopter dijangka mengambil masa kerana ia memerlukan kepakaran dan kelengkapan khusus untuk operasi dasar sungai.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia memerlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga. Saya difahamkan kedalaman sungai ini mencecah kira-kira 25 kaki dan itu memerlukan kepakaran tertentu dalam operasi ini,” katanya.

Helikopter AS355 milik PDRM itu dilaporkan terhempas ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

CAAM dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N bernombor pendaftaran 9M-PHG.

Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan PDRM berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan