BELANJAWAN 2025 > BERITA

KDN Bakal Laksana Pendaftaran Pelarian Untuk Peroleh Data Lebih Tepat

08/07/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan inisiatif Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) untuk pelarian di negara ini, supaya kerajaan mempunyai data lebih tepat terhadap kumpulan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu, bakal dilaksanakan kerana pada masa ini kerajaan terpaksa berdepan dengan proses panjang bagi perkongsian data pendaftaran pelarian, yang kini dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Jadi untuk mempercepatkan kita menangani isu pelarian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kata KDN hendaklah menjalankan kutipan data-data pendaftaran pelarian ini.

“KDN kini sedang menjalankan proses perolehan dan perlu melantik vendor yang akan membuat sistem itu. Kita akan gunakan infrastruktur ada dalam KDN, misalnya Jabatan Imigresen yang memiliki 78 pejabat di seluruh negara yang boleh menjadi tempat mereka datang dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas sesi bual bicara Menteri (IMC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengarah INTAN Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Saifuddin Nasution berkata ketika ini, inisiatif pendaftaran pelarian itu sudah dimulakan dengan saringan terhadap 37,000 individu bagi menilai sama ada mereka memenuhi kriteria sebagai pemohon suaka.

Beliau berkata KDN kini juga sedang meneliti langkah seterusnya apabila kumpulan pelarian itu sudah didaftarkan, antaranya bagi pengurusan lebih komprehensif tanpa berkompromi dengan keselamatan negara dan mengambil kira kebajikan mereka.

“Maksudnya akses kepada pelajaran dan kesihatan tapi bukan bawah (sekolah dan hospital) kerajaan, namun kita akan benarkan inisiatif pihak lain seperti swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengoperasikan sekolah.

“Kalau kita luaskan pula kepada isu kesihatan, walaupun kita tahu piagam doktor ialah memberikan khidmat kesihatan tapi kita juga kena ingat, merawat pelarian ini meninggalkan bil tak berbayar yang juga menjadi isu kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan