BELANJAWAN 2025 > BERITA

HLIB Unjur BNM Kurangkan 25 Mata Asas OPR, Kenanga Jangka Dasar Tidak Berubah

08/07/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas susulan peningkatan ketidaktentuan dasar global.

Menurut HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang seterusnya dijadualkan berlangsung esok (9 Julai).

Dalam mesyuarat MPC terdahulu pada 8 Mei, BNM mengekalkan OPR pada kadar tiga peratus.

Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), HLIB juga mengekalkan unjurannya pada 4.0 peratus.

HLIB berkata walaupun kesan jangka pendek tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia, perkembangan ini juga boleh bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan kandungan nilai tempatan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan industri berorientasikan eksport.

“Peralihan sedemikian sejajar dengan matlamat lebih besar Malaysia untuk meningkatkan rantaian nilai tambah selain memperkukuh asas perindustriannya,” katanya.

HLIB turut berkata Malaysia masih mempunyai peluang untuk menjalankan rundingan dengan AS bagi mendapatkan pengurangan kadar tarif seperti yang dicadangkan dengan tempoh 25 hari lagi sebelum pelaksanaannya pada 1 Ogos 2025.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata walaupun pasaran membuat spekulasi mengenai kemungkinan BNM menurunkan kadar faedah seawal minggu ini, asas untuk pelonggaran dasar masih lemah.

Ia berkata KDNK sedang berkembang melebihi 4.0 peratus dan risiko inflasi semakin meningkat, menunjukkan kurangnya keperluan mendesak untuk melaksanakan perubahan dasar.

“Kadar dasar semasa kekal menarik untuk aliran masuk modal asing terutamanya dalam bon dan pembaharuan struktur dalam jangka masa terdekat berkemungkinan bersifat inflasi.

“Namun begitu, kelembapan pertumbuhan yang berterusan terutamanya jika pertumbuhan utama merosot di bawah 3.5 peratus, ia boleh mengubah pertimbangan dasar,” kata Kenanga.

Jelasnya, unjuran asas masih menjurus kepada dasar dikekalkan.

Pada 7 Julai, pentadbiran Donald Trump secara rasmi memaklumkan kepada 14 negara termasuk Malaysia mengenai kadar tarif baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport dengan kadar yang lebih tinggi ke atas barangan yang dipindahkan walaupun masih terdapat kekeliruan mengenai definisi sebenar pemindahan barangan tersebut.

Keputusan ini kurang menguntungkan daripada yang dijangkakan, melebihi kadar tarif semasa iaitu 10 peratus dan kadar 24 peratus yang diumumkan sebelum ini.

HLIB berkata pendedahan perdagangan Malaysia kepada AS sebanyak 7.2 peratus daripada KDNK dengan eksport nilai tambah domestik menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah eksport.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan