GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini melancarkan program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) atau Program Sukuk pertamanya bernilai RM5 bilion bagi menyokong pembangunan infrastruktur air kritikal dan keselamatan air jangka panjang di Pulau Pinang.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata program sukuk yang distrukturkan di bawah model Sukuk Wakalah patuh syariah, dilancarkan bersama Rangka Kerja Kewangan Mampan PBAPP yang baharu.
Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata terbitan sukuk itu akan mengukuhkan kemampuan PBAPP untuk meraih modal jangka panjang bagi pembangunan infrastruktur air melalui instrumen hutang berlabel patuh syariah dan mampan.
“Platform pembiayaan yang dinamik ini akan membolehkan PBAPP meningkatkan pelaburan dalam projek air kritikal sambil mengukuhkan komitmen negeri kepada pembangunan mampan.
“Program sukuk telah menerima penarafan kredit tertinggi AAA/Stabil di Malaysia oleh RAM Rating Services Bhd, manakala Rangka Kerja Kewangan Mampan menerima Penarafan Kewangan Mampan Emas daripada RAV Sustainability Sdn Bhd,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran hari ini.
United Overseas Bank (UOB) Malaysia dan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) telah dilantik sebagai penasihat bersama utama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama terbitan Sukuk itu.
Maybank IB turut dilantik sebagai penasihat penstrukturan kemampanan tunggal bagi Rangka Kerja Kewangan Mampan.
Hasil daripada Program Sukuk akan digunakan untuk membiayai Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) PBAPP, menyokong perbelanjaan modal dan operasi yang lebih luas, termasuk keperluan pembiayaan semula dan membiayai inisiatif hijau dan sosial lain selaras dengan Rangka Kerja Kewangan Mampannya.
PBAPP merupakan agensi berkaitan kerajaan Pulau Pinang pertama yang mewujudkan kedua-dua program Sukuk dan Rangka Kerja Kewangan Mampan.
Sementara itu, Ketua Negara bagi Perbankan Borong UOB Malaysia Andy Cheah berkata Program Sukuk mengetengahkan peranan penting bank dalam menggerakkan modal untuk pembiayaan mampan dan menunjukkan cara bank memanfaatkan keupayaan mereka bagi menyampaikan perubahan sebenar dalam infrastruktur sektor awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB Michael Oh-Lau berkata pasaran modal hutang Malaysia kekal sebagai salah satu yang paling maju dan cair di rantau ini, dengan lebih RM120 bilion dalam sekuriti hutang swasta diterbitkan setiap tahun, berserta pertumbuhan stabil dalam terbitan berlabel kemampanan tahun ke tahun.
“Menerusi Program Sukuk ini, PBAPP kini berada di kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pelbagai pelabur, harga yang kompetitif dan fleksibiliti pendanaan yang lebih besar dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial