RIO DE JANEIRO, 8 Julai (Bernama - CMG) - China akan menyokong Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam mempromosikan pembaharuan dan pembangunan, menegakkan semula kewibawaan WTO, di samping menambah baik peraturan perdagangan, serta mendorong Mesyuarat Peringkat Menteri WTO Ke-14 agar membuahkan hasil.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo Iweala di sini pada Isnin.
Li berkata, pada masa ini, situasi perdagangan dunia mengalami perubahan besar, sementara unilateralisme dan proteksionisme semakin berleluasa.
Dalam konteks ini, kata Li, orde perdagangan antarabangsa mengalami tempias teruk, manakala ekonomi dunia dan pembangunan pelbagai negara pula menghadapi cabaran besar.
Li menegaskan bahawa arus globalisasi ekonomi tidak boleh dihalang. China akan dengan tegas mengamalkan dan memelihara multilateralisme dan perdagangan bebas, di samping berusaha bersama masyarakat antarabangsa untuk mendorong ekonomi dunia kembali ke landasan yang betul.
"China mempunyai sumber dan solusi untuk menangkis kesan negatif luaran. Pada masa sama, China berkeyakinan dan berkemampuan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan sihat.
"Kerajaan China akan mengamalkan dasar makro yang lebih proaktif, memperluas permintaan domestik, merangsang penggunaan, dan membolehkan pasaran besar yang mempunyai 1.4 bilion orang ini mengeluarkan lebih banyak permintaan," ujar Li.
Selain itu, China akan mengambil lebih banyak langkah terbuka, mematuhi peraturan WTO dan pasaran, terus berkongsi peluang pembangunan dengan pelbagai pihak, agar membawa lebih banyak tenaga positif kepada dunia.
Iweala pula berkata, pihaknya memuji sokongan dan bantuan China kepada negara-negara paling kurang membangun sejak sekian lama, serta menilai tinggi peranan signifikan China dalam mekanisme perdagangan pelbagai hala.
"WTO ingin bekerjasama dengan China dan anggota lain dalam usaha mendorong pembaharuan organisasi ini, supaya menyediakan syarat kondusif bagi pembangunan perdagangan dan pemulihan ekonomi global," kata Iweala.
– BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial