GAZA, 25 Jun (Bernama-QNA) -- Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terkorban dan beberapa lagi cedera pada Rabu apabila tentera Israel meningkatkan pengeboman ke atas pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, termasuk timur dan barat Bandar Gaza serta bandar Bani Suheila di timur Khan Younis.
Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan satu keluarga terdiri daripada suami isteri dan lima orang anak mereka terkorban dalam satu serangan udara yang menyasarkan kawasan Al-Shawa di kejiranan Shujaiya, Bandar Gaza. Beberapa individu lain turut cedera dalam serangan yang sama.
Lima lagi orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam serangan berasingan oleh Israel yang menyasarkan sekumpulan orang berhampiran Kolej Latihan di barat Bandar Gaza.
Di selatan Gaza, seorang rakyat Palestin terkorban selepas serangan udara Israel di Bani Suheila, timur Khan Younis.
Sumber perubatan mengesahkan seramai 31 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak terkorban sejak awal pagi Rabu dalam siri serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza dengan puluhan lagi cedera.
Jumlah korban di Gaza kini meningkat kepada 56,077 orang dengan 131,848 cedera sejak permulaan pencerobohan Israel pada 7 Okt 2023.
-- BERNAMA-QNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial