PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan mengenal pasti pendekatan bersesuaian agar MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Felda Trolak, Perak dapat diberi lebih peluang untuk mempamerkan bakat pada masa hadapan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan MADANI berkata ia susulan kejayaan membanggakan orkestra itu yang merangkul Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech baru-baru ini.
“Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan (perkara ini) kepada Jemaah Menteri. Kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh orkestra MRSM Ulul Albab.
“Insya-Allah, kita akan lihat apa yang kita boleh bantu untuk memastikan kumpulan orkestra MRSM Ulul Albab akan dapat diberikan peluang yang baik pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengagumi semangat yang ditonjolkan generasi muda Felda, Fahmi berkata kumpulan itu telah menerima markah tertinggi daripada barisan juri profesional berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.
“Apa yang sangat unik tentang orkestra ini, mereka sebelum ini kurang mahir dalam peralatan muzik yang mereka mainkan, tetapi dalam tempoh singkat dengan bantuan Orkestra RTM mereka bukan hanya berupaya memainkan alat muzik dengan baik sewaktu persembahan di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri malah memenangi anugerah berprestij di Prague,” katanya.
Media melaporkan kejayaan MAWO turut mengharumkan nama negara apabila mengetepikan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara dalam kategori kelas pertengahan (middle class), sekali gus menjadi satu-satunya peserta dari Asia yang menawan pentas antarabangsa itu.
Pertandingan berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘lower class’, ‘middle class’ dan ‘higher class’ berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.
Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun lepas menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia menjadi negara tunggal mewakili benua Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial