KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty sebagai seorang sahabat karib, dan indiividu yang sangat aktif dalam bidang pemikiran agama, pendidikan dan intelektual.
Anwar berkata Allahyarham, yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), turut aktif dalam PKR.
“Saya terkesan dan sangat sedih dengan pemergian beliau tatkala kami sempat bertemu beberapa hari yang lalu.
“Saya mendoakan agar roh beliau diampuni oleh Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama para syuhada, serta keluarganya dikurniakan kekuatan, kecekalan, dan ketabahan oleh-Nya, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.
Pada 18 Jan lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial