PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat agar sentiasa konsisten menyantuni rakyat dan tidak hanya turun padang menjelang pilihan raya.
Anwar berkata pendekatan turun padang perlu dilakukan secara berterusan, sebagaimana yang diamalkannya sejak Disember 2022, termasuk mengunjungi gerai dan warung setiap kali sebelum menunaikan solat Jumaat.
“Saya tidak mahu hanya turun ke gerai dua bulan sebelum pilihan raya. Dua bulan sebelum pilihan raya, semua orang politik akan cium bayi, singgah ke warung, dan bertanya khabar dari rumah ke rumah. Budaya itu perlu dihentikan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata pendekatan Malaysia MADANI bukan sekadar gimik politik, sebaliknya memberi penekanan kepada keperluan dan kehidupan majoriti rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Mengulas lanjut, Anwar berkata amalan makan di gerai atau warung setiap hari Jumaat sebelum solat bukan sahaja mendekatkan dirinya dengan rakyat, malah membolehkannya menilai sendiri tahap kebersihan dan kemudahan di kawasan setempat.
"Ini satu-satunya cara kita dapat melihat tahap kebersihan dan kemudahan, kerana ia menyentuh kepentingan 80 peratus rakyat," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kuala Lumpur sudah mempunyai cukup mercu tanda, termasuk Menara Merdeka 118 dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
“Cukup, cukup, cukup. Kalau tanya saya, apa yang saya mahu sekarang ialah gerai dan warung yang bersih,” katanya.
Menurut beliau warung dan gerai menyantuni keperluan 80 peratus rakyat, berbanding restoran besar yang hanya menampung 20 peratus rakyat.
“Kalau kita lihat keadaan gerai sekarang... kita boleh bangunkan Menara Berkembar dan Merdeka 118, tetapi kenapa gerai dan warung rakyat dibiarkan? Itu tidak wajar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial