KUALA LUMPUR 27 Mei (Bernama-CMG) -- China komited bekerjasama dengan Malaysia untuk memperkasakan kerjasama ASEAN - Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - China dalam bidang ekonomi bagi memelihara bersama sistem perdagangan bebas dan perdagangan pelbagai hala.
Demikian kata Perdana Menteri China Li Qiang ketika bertemu dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin malam.
“China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan konsensus yang tercapai dalam lawatan rasmi Presiden Xi Jinping pada bulan lepas.
Dengan terus memupuk rasa saling menghormati dan saling percaya, berdasarkan kesamarataan mewujudkan situasi saling memanfaatkan dan menang-menang, meningkatkan komunikasi dari segi strategik, memacu pembangunan bersepadu rantaian perindustrian dan bekalan, menggalakkan pembinaan projek-projek utama, dan merancakkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya, bagi memulakan secara bersama satu lagi 'Jubli Emas' dalam hubungan China-Malaysia," kata Li.
Li juga menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sebagai membawa makna penting yang istimewa.
Anwar pula berkata, lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada bulan lepas sangat berjaya.
"Kedua-dua pihak perlu bertindak pantas melaksanakan konsensus penting yang tercapai dalam lawatan itu.
"Malaysia komited bekerjasama dengan China untuk menggalakkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama kali diadakan dalam sejarah ini membuahkan hasil yang melimpah," kata beliau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial