DUNIA > BERITA

China Sedia Kukuhkan Perkongsian Dengan ASEAN, GCC

28/05/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama-CMG) -- China bersedia mengukuhkan perkongsian dengan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Demikian kata Perdana Menteri China Li Qiang dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang bertemakan "Penyatuan Peluang Eknomi ke arah Kemakmuran Bersama” yang diadakan di sini pada Selasa.

Sidang itu diserikan dengan kehadiran pemimpin negara anggota ASEAN, GCC, negara pemerhati ASEAN dan setiausaha agung kedua-dua pertubuhan berkenaan.

Li Qiang menyatakan pembentukan platform dialog dan mekanisme kerjasama seumpama sidang kemuncak tiga pihak  ini merupakan langkah inovatif yang signifikan dalam kerjasama ekonomi serantau di sebalik dunia yang bergelut dengan pergolakan, serta kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

“Pengukuhan hubungan dan pemerkasaan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dianggap membawa makna penting demi kemakmuran ekonomi negara masing-masing serta pembangunan dan kedamaian Asia bahkan dunia,” kata beliau.  

Li turut menegaskan peri mustahaknya pelbagai pihak mengambil sepenuhnya peluang bersifat sejarah ini, menambah elemen baharu ke dalam kerjasama tiga pihak untuk mewujudkan model kerjasama dan pembangunan antara rantau yang terbuka, yang melibatkan tahap berbeza dan tamadun berlainan pada zaman kontemporari.

“Ketiga-tiga pihak perlu mengambil tindakan praktikal untuk memperhebat kerjasama.

“China bersedia mengadakan perbincangan dan membuat rancangan tentang pembinaan bersama yang berkualiti di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), meningkatkan kesalinghubungan dan penyelarasan dalam bidang infrastruktur, memperkasakan kerjasama dalam bidang yang melibatkan tenaga, pertanian, kecerdasan buatan, ekonomi digital, hijau dan rendah karbon, selain menggalakkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya.

“Ketiga-tiga pihak perlu mengukuhkan komunikasi dan koordinasi dalam hal ehwal multilateral bagi menggalakkan tadbir urus global berkembang ke arah yang lebih adil dan munasabah,” kata beliau.      

Pemimpin-pemimpin pelbagai negara yang menghadiri sidang itu memberi penilaian tinggi tentang kerjasama ketiga-tiga pihak dalam memacu pembangunan negara masing-masing serta kemakmuran dan kestabilan serantau, dan menyatakan bahawa sidang kemuncak kali ini telah membuka lembaran baharu bagi ketiga-tiga pihak untuk menghadapi cabaran dan mewujudkan pembangunan bersama.

Para pemimpin juga komited memperkasakan kerjasama di bawah rangka Inisiatif BRI terutama dalam bidang kesalinghubungan, serta rantaian perindustrian dan bekalan, membantu rakyat saling mengenali hati dan budi melalui pertukaran sosiobudaya, meningkatkan kerjasama pelbagai hala, menggalakkan pembinaan integrasi ketiga-tiga pihak demi mencapai pembangunan mampan yang kuat dan terangkum, sekali gus mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib.

"Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China" turut diluluskan semasa berlangsungnya sidang itu.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan