Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 28 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada Rabu memuji kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur, khususnya penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan kemajuan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste sebagai pencapaian penting.
Beliau berkata sidang kemuncak dua hari itu yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" mencerminkan aspirasi kolektif rantau ini.
Kao menekankan kejayaan berganda sidang kemuncak berkenaan iaitu pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 berserta empat pelan strategik serta persetujuan pemimpin untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN ke-11, dengan kemasukan rasmi dijangka dimuktamadkan pada sidang kemuncak Oktober nanti.
"Para pemimpin mencapai konsensus mengenai keanggotaan penuh Timor-Leste semasa sesi pemukiman sidang kemuncak," katanya, sambil menambah bahawa unit khas Timor-Leste telah ditubuhkan di Sekretariat ASEAN bagi menyokong proses kemasukan itu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai hasil sidang kemuncak, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang turut dihadiri kor diplomatik dan wakil media di Ibu Pejabat ASEAN.
Mengulas keseluruhan hasil sidang, Kao berkata ia berjaya dari segi penyertaan, kandungan dan penganjuran dengan sejumlah 22 dokumen hasil dimuktamadkan sepanjang sidang berkenaan.
Mengenai cabaran dalaman, beliau berkata para pemimpin ASEAN mengadakan perbincangan secara jujur dan terbuka, khususnya berhubung krisis di Myanmar dan tekanan ekonomi serantau.
"Mesyuarat dengan China dan GCC turut menekankan keperluan membina kepercayaan dalam kalangan negara anggota dan juga dengan rakan luar," katanya.
Mengenai isu Myanmar, beliau berkata para pemimpin menegaskan semula kesahan Konsensus Lima Perkara dan menyambut baik cadangan melantik utusan khas jangka panjang bagi meningkatkan usaha diplomatik susulan keganasan dan krisis kemanusiaan yang berterusan.
Berkaitan tarif Amerika Syarikat, Kao berkata negara anggota ASEAN menghadapi gangguan ekonomi yang serius namun bersetuju untuk tidak bertindak balas secara konfrontasi, sebaliknya memilih rundingan kerjasama dengan Washington.
Beliau menambah bahawa ASEAN juga merancang untuk menaik taraf perjanjian perdagangan bebas dengan Korea Selatan serta meneroka potensi perjanjian perdagangan bebas antara rantau dengan GCC.
Pada mesyuarat ASEAN-GCC, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, hubungan udara, pertukaran rakyat serta peralihan tenaga, selain membincangkan isu Palestin dan Gaza.
Sidang kemuncak sulung ASEAN-GCC-China turut berlangsung, dengan para pemimpin menegaskan kepentingan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dan meneroka sinergi dalam bidang perdagangan, tenaga dan teknologi.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Papua New Guinea (PNG) menyertai ASEAN susulan sokongan Indonesia, Kao menjelaskan bahawa perkara itu telah dibangkitkan namun belum dibincangkan secara rasmi dalam kalangan negara anggota.
"Itu adalah sesuatu yang perlu dikaji oleh para pegawai kita," katanya sambil menegaskan bahawa konsensus kesemua negara anggota sedia ada diperlukan untuk membolehkan PNG menyertai ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial