DUNIA > BERITA

Kerjasama ASEAN-GCC-China Beri Manfaat Kepada Perdagangan Dan Pelaburan Global — Badan Pemikir Malaysia

27/05/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama-Xinhua) -- Di sebalik peningkatan perlindungan dagangan dan tindakan unilateral di peringkat global, kerjasama lebih kukuh antara negara anggota ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dijangka dapat merancakkan perdagangan dan pelaburan global, kata seorang pakar Malaysia, lapor Xinhua.

“ASEAN, negara-negara GCC dan China berkongsi aspirasi yang sama dalam pembangunan dan cabaran global.

"Justeru, adalah wajar untuk kita menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai sektor,” kata Bunn Nagara, Pengarah dan Felo Kanan di Kokus Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk Asia-Pasifik, sebuah badan pemikir bebas berpangkalan di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Xinhua pada Sabtu, beliau berkata sektor tenaga, keterjaminan makanan dan daya tahan rantaian bekalan menawarkan potensi paling besar untuk kerjasama tiga hala.

Negara GCC menerajui sektor minyak dan gas, China pula mendahului dalam tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV), manakala ASEAN merupakan pasaran pengguna utama serta hab pengeluaran penting.

“Daya tahan yang lebih baik boleh dicapai jika kita memulakan kerjasama secara lebih erat dan menyelesaikan cabaran yang timbul secara bersama.

“Apa yang penting ialah sikap terbuka terhadap bidang dan bentuk kerjasama baharu, sambil peka terhadap keperluan rakan-rakan kerjasama,” katanya.

Menurut Nagara, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) merupakan mekanisme utama dalam mendorong kerjasama tiga hala ini.

“BRI ialah projek berskala besar yang meliputi pelbagai bidang berkaitan termasuk ekonomi digital dan peralihan hijau,” jelasnya.

Beliau berkata, BRI sangat selari dengan kepentingan bersama dalam pertumbuhan mampan dan menyediakan asas yang kukuh untuk sinergi antara ASEAN, GCC dan China.

Ketika perdagangan global berdepan tekanan besar akibat dasar perlindungan dan tindakan unilateral, Nagara percaya bahawa kerjasama antara ASEAN-GCC-China boleh menjadi model bagi negara-negara Selatan Global.

"ASEAN, GCC dan China juga merupakan negara-negara Selatan Global, selain negara Asia,” kata Nagara.

Kerjasama itu berpotensi memberi inspirasi kepada inisiatif serupa dalam kalangan negara-negara di Afrika dan Amerika Latin yang berkongsi aspirasi pembangunan sama, katanya.

“Kita menjalinkan kerjasama ini demi melindungi kepentingan sah dalam pembangunan, bukan untuk mengancam negara atau rantau lain.

"Kita lebih memilih pendekatan tanpa konfrontasi kerana ia lebih menjamin manfaat bersama.

“Sebahagian daripada kepentingan kita adalah melindungi perdagangan global yang menjadi asas kepada program pembangunan nasional masing-masing.

"Usaha ini juga akan memberi manfaat kepada negara dan rantau lain di seluruh dunia," kata Nagara.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan