Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 26 Mei (Bernama) -- Thailand menegaskan komitmennya terhadap integrasi serantau yang lebih mendalam susulan penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Isnin, satu langkah yang dijangka memperkukuh hubungan antara negara anggota dan rakan kongsi luar.
Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra telah menandatangani “Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita” dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
“Ini selaras dengan keutamaan Thailand seperti memperkukuh keselamatan, pembangunan tenaga kerja, pemerkasaan penjagaan kesihatan, peningkatan kesalinghubungan, pembangunan infrastruktur mampan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.
“Inisiatif ini sejajar dengan dasar dan komitmen berterusan kerajaan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Jirayu berkata ACV 2045 bersama pelan strategiknya akan digabungkan dalam satu dokumen komprehensif bertajuk “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita”.
Beliau turut menjelaskan bahawa visi itu merangkumi bidang utama seperti kerjasama politik dan keselamatan, kemajuan ekonomi, inisiatif sosiobudaya, kesalinghubungan, dan pemerkasaan institusi, dengan matlamat mewujudkan Komuniti ASEAN yang kukuh, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat.
ACV 2045, dokumen penting yang akan membentuk hala tuju ASEAN bagi tempoh 20 tahun akan datang, dilancarkan secara rasmi pada Isnin selepas disahkan oleh para pemimpin rantau yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur.
Visi Komuniti ASEAN 2045 ini akan menggantikan dokumen “ASEAN 2025: Forging Ahead Together” yang diterima pakai pada 2015 dan menjadi panduan pembangunan Komuniti ASEAN sepanjang dekad lalu.
Visi ini turut mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap integrasi serantau menerusi tiga tonggaknya iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial