DUNIA > BERITA

PM Vietnam, Kemboja, Laos Bersarapan Bersama Sempena Sidang Kemuncak ASEAN

26/05/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama-VNA) – Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pada Isnin mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, dan dari Laos, Sonexay Siphandone dalam sesi sarapan, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), ketiga-tiga pemimpin itu bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama bersama serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Mereka menyatakan bahawa ketiga-tiga negara sedang berusaha mengatasi cabaran keselamatan, politik dan sosioekonomi yang timbul akibat perkembangan global dan serantau.

Para pemimpin itu juga menyifatkan hubungan dua hala dan tiga hala telah mencatat kemajuan ketara sejak kebelakangan ini, sambil menambah bahawa ketiga-tiga kerajaan telah segera menyelaras pelaksanaan pelan kerjasama praktikal susulan pertemuan pemimpin tertinggi parti masing-masing dan pertemuan peringkat tinggi lain.

Mereka menegaskan pelbagai mekanisme kerjasama dua hala dan tiga hala telah terbukti berkesan serta menyumbang secara nyata ke arah pengukuhan hubungan.

Ketiga-tiga perdana menteri itu menegaskan bahawa kepercayaan bersama dan perkongsian strategik menjadi asas penting kepada kerjasama jangka panjang dan mampan dalam pelbagai bidang, khususnya dalam usaha mengukuhkan kesalinghubungan tiga hala merangkumi sektor utama seperti ekonomi, perdagangan, kewangan, pendidikan, budaya dan hubungan antara rakyat.

Ketiga-tiga pihak bersetuju untuk mempertingkat kerjasama dalam pembangunan kawasan sempadan dengan memberi tumpuan kepada penyambungan infrastruktur pengangkutan, tenaga, perdagangan, transformasi digital dan sumber manusia.

Mereka turut menekankan kepentingan memaksimumkan kecekapan pintu sempadan darat bagi memperkasa perdagangan rentas sempadan dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi di wilayah sempadan.

Para pemimpin itu juga bersetuju untuk bekerjasama meneroka penubuhan zon ekonomi rentas sempadan serta menyemak dan meminda perjanjian sedia ada bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih menyokong, dengan sasaran meningkatkan jumlah dagangan dua hala Vietnam-Laos kepada US$5 bilion dan Vietnam-Kemboja kepada US$20 bilion.

Mereka turut berikrar untuk mempromosikan inisiatif pelancongan "tiga negara, satu destinasi" dan bekerjasama dengan Thailand dalam melaksanakan projek kesalinghubungan pengangkutan serantau melibatkan keempat-empat negara.

Ketiga-tiga perdana menteri menegaskan bahawa keselamatan sesebuah negara merupakan kepentingan bersama negara lain.

Mereka turut mengulangi komitmen untuk memelihara kestabilan politik, keselamatan awam dan kesejahteraan sosial di negara masing-masing, serta mengekalkan ketenteraman di kawasan sempadan bersama. Usaha turut dipertingkat untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan kemasukan haram, sambil memastikan sempadan kekal sebagai kawasan damai, persahabatan, stabil dan membangun.

Mereka yakin pertemuan antara menteri pertahanan, menteri dalam negeri/keselamatan awam, dan menteri luar negara masing-masing akan membantu menterjemahkan persetujuan dan arahan peringkat tinggi kepada tindakan konkrit.

Para pemimpin itu menegaskan bahawa pemeliharaan dan pemerkasaan tradisi solidariti dan saling sokong antara ketiga-tiga negara adalah lebih penting berbanding sebelum ini, dan merupakan faktor utama dalam memperkukuh hubungan tiga hala yang lebih erat.

Mereka bersetuju untuk terus mengekalkan pertukaran, lawatan dan pertemuan secara tetap menerusi pelbagai saluran dan peringkat.

Ketiga-tiganya turut menekankan keperluan memperbaharui kaedah komunikasi bagi menyerlahkan kejayaan kerjasama tiga hala dan menonjolkan nilai sejarah persahabatan yang berpanjangan, termasuk pengorbanan setiap negara demi satu sama lain. Mereka juga menyeru kepada pengukuhan jaringan antara pemimpin muda, ahli parlimen, belia dan rakyat ketiga-tiga negara.

Bertitik tolak daripada asas ini, ketiga-tiga perdana menteri bersetuju untuk mengarahkan kementerian, sektor dan kerajaan tempatan berkaitan agar melaksanakan dengan berkesan semua perjanjian dan program kerjasama sedia ada, sama ada secara dua hala mahupun tiga hala.

Mereka juga komited untuk meneroka mekanisme kerjasama baharu yang lebih berkesan bagi memperkukuh kesalinghubungan dan membawa hasil nyata.

Kerjasama dalam pendidikan, latihan, pelancongan, budaya serta sains dan teknologi turut akan dipertingkatkan. Vietnam mengulangi kesediaannya untuk menambah jumlah biasiswa berkualiti tinggi kepada pelajar dari Laos dan Kemboja.

Ketiga-tiga pemimpin itu juga bersetuju untuk terus berunding secara rapat berhubung isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk situasi di Myanmar, serta hal-hal berkaitan hubungan dua hala dan tiga hala. Mereka turut berikrar untuk menyelaras secara erat dalam membuat persiapan bagi acara nasional utama di negara masing-masing dalam masa terdekat.

-- BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan