Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia, Sugiono menyatakan sokongan penuh terhadap pelbagai inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam usaha memudah cara penyelesaian aman konflik dalaman di Myanmar.
Ketika berucap dalam Mesyuarat Konsultasi Tidak Formal Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) di Kuala Lumpur pada Sabtu, beliau mengulangi kesediaan Indonesia untuk terus menyumbang secara aktif ke arah pemulihan demokrasi dan kestabilan di Myanmar.
“Kekuatan ASEAN terletak pada perpaduannya. Dalam menghadapi krisis Myanmar, kita mesti bersuara dengan nada yang sama dan bertindak dengan satu matlamat untuk mendesak pelaksanaan penuh 5PC,” katanya menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia pada Ahad.
Mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN itu merupakan forum tidak rasmi yang menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Utusan Khas ke Myanmar bagi membincangkan perkembangan terkini serta menggalakkan pelaksanaan 5PC yang lebih berkesan.
Sugiono turut menegaskan kepentingan pelaksanaan menyeluruh Konsensus Lima Perkara itu, dengan memberi tumpuan kepada hentikan keganasan, peluasan bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan dialog inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
“Indonesia kekal komited untuk mempromosi penyelesaian aman di Myanmar.
"Kestabilan serantau hanya boleh dicapai sekiranya ASEAN bersatu dan bertindak berdasarkan prinsip konsensus dan solidariti,” tegasnya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing di Bangkok bagi menggesa gencatan senjata dan menyelaras bantuan kemanusiaan, khususnya selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter pada 28 Mac yang mengorbankan lebih 3,700 nyawa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial